Brother & Sister

Manusia seperti logam dan kebaikan bagi yang memahami

Hadith I: Manusia seperti logam

عن أبي هريرة رضي الله عنه: قَالَ رَسُوْلَ الله صلى الله عليه وسلم:

(( الناس معادن، خيارهم في الجاهلية خيارهم في الإسلام، إذا فقهوا )). صحيح البخاري
"Annas ma'adin, khiaruhum fil jahiliyyah khiaruhum fil islam, idza faqihu/faquhu"

Maksud:
“Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham"


Nilai logam tidak akan berubah dalam mana-mana zaman. Sekiranya ‘jahil’, nilai itu akan menyokong jahiliyyah dan sebaliknya, sekiranya dia Islam, nilai itu akan menyokong Islam. Segalanya bergantung kepada kefahamannya. Contoh terdekat seperti Umar al Khattab.
Semasa jahilnya, berani dan tegas sehingga mencabar dan digeruni oleh pihak Islam. Logamnya adalah keberanian, ketegasan dan kewibaannya dalam kepimpinan. Setelah dia memeluk Islam, logam itu kekal padanya dan satu pun tidak berubah malah digunakan untuk Islam. Kita semua adalah logam. Saya pun seperti logam, tak percaya? :) 

Oleh kerana sifat logam yang selalu akan kelam atau berkarat, kita sebagai manusia perlulah selalu menggilap nya supaya selalu memberi kebaikan dan manfaat kepada seluruh alam terutama kepada proses da'wah (peringatan) Islamiyyah. Ini selari dengan tujuan Allah menjadikan manusia adalah kerana:
1. Beribadah dan patuh kepada ajaran Allah Ta'ala
Firman Allah SWT:
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku" (Surah Az-Zariyat 51:56)
2. Sebagai khalifah (pemimpin) di muka bumi
Firman Allah SWT:
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat,"Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi." (Surah Al-Baqarah 1:30) 

Bahagian terakhir hadith ini, ”إذا فقهوا” mempunyai dua sebutan: 
1. إذا فقِهوا (faqihu): memahami ilmu Fiqh. 
    (Contoh: Imam As-Syafie).
2. إذا فقُهوا (faquhu): memahami Islam. 
    (Contoh: Sumayyah yang tidak sempat mempelajari ilmu fiqh dalam Islam tetapi tetap faham erti Islam itu sendiri sebelum dibunuh bahkan Al-Quran pun belum habis diwahyukan).

Ramai yang mungkin mengetahui hukum Fiqh tetapi bukan memahami Islam itu sendiri. Sedangkan memahami Islam itu sendiri lebih penting sebelum mengetahui perkara-perkara lain termasuklah Ilmu Fiqh. Ini adalah kerana Islam atau Ad-Din (pegangan hidup/cara hidup) merangkumi 3 perkara yakni:
1. Aqidah (Kepercayaan) - Iman
2. Akhlak (Tasawuf)
3. Fiqh (Hukam hakam)

Jika seseorang itu sudah memahami Ad-Din yakni Islam lebih mudah baginya untuk membetulkan aqidahnya dan seterusnya memiliki akhlak (tasawuf) yang baik disamping memahami ilmu-ilmu Fiqh . Untuk memiliki kefahaman ini kita perlu mencari saluran yang betul seperti halaqah, usrah dan melalui proses tarbiyyah (didikan).

Firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakhwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah (berjuanglah) di jalan-Nya, agar kamu beruntung" (Surah Al-Ma'idah 5:35)


Hadith II: Kebaikan bagi mereka yang faham
عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
(( من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين )). صحيح البخاري ومسلم
“Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberikannya kefahaman (islam) dalam Ad-Din”
Kefahaman yang membawa kebaikan kepada seseorang ialah kefahaman mengenai Ad-Din.

Firman Allah SWT:

فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلإسْلامِ...
“Maka sesiapa Yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam…” (Surah Al-An’am 6: 125)



Firman Allah SWT:
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
"Tunjukilah (hidayah) kami jalan yang lurus" (Surah Al-Fatihah 1:6)


Hidayah Allah itu datang dalam pelbagai bentuk. Dalam menggapai hidayah Islam, Allah telah memberi hidayah-hidayah yang didahulukan sebelum hidayah kefahaman Islam itu sampai  yakni:
1. Hidayah naluri (garizah) - contoh: mempertahankan diri
2. Hidayah Pancaindera
Melalui pancaindera manusia dapat berhubungan dengan alam sekeliling serta memahaminya seperti menimba ilmu dan bekerja dalam mencari rezeki
     الحواس أبواب المعرفة
   "Pancaindera itu adalah pintu-pintu pengetahuan"
3. Hidayah akal
Melalui kelebihan akal, manusia dapat membezakan yang baik dan buruk melalui naluri dan pancainderanya dengan mempertikaikan akibat dan sebab. Melalui hidayah ini juga terbit pelbagai kepercayaan kerana dalam jiwa manusia telah ada bibit-bibit beragama sebagai membalas budi baik kepada yang telah memberinya kebaikan.
4. Hidayah agama
Telah diutuskan para rasul dan anbiya' untuk membimbing manusia ke jalan yang benar melalui agama yang dibawa. Ada juga manusia yang sejak lahir telah mendapat hidayah ini melalui agama yang dianuti ibu bapa mereka.
5. Hidayah yang dipohon
Agama Islam sebagai hidayah dan senjata hidup yang penghabisan, atau jalan kebahagiaan yang terakhir, telah dianugerahkan Allah, tetapi adakah orang pandai mempergunakan senjata itu, dan adakah semua hamba Allah berjaya dalam menempuh jalan yang dibentangkan oleh Tuhan. 
Tidak banyak manusia yang pandai menerapkan agama, beribadat (menyembah Allah) sebagai yang diredhai oleh yang disembah, bahkan pelaksanaan syariat tidak sesuai dengan yang dimaksud oleh Pembuat syariat itu.


Sebab itulah kini, ada manusia yang hanya menjadi Islam hanya pada nama tapi perlu diingatkan juga bahawa hidayah Allah itu tidak akan sampai dengan mudah (mungkin ada yang mudah kerana dia antara manusia logam yang berharga) sebab itulah kita disuruh menggunakan hidayah-hidayah Allah yang lain itu untuk mencapainya barulah kefahaman itu akan betul-betul sampai sambil diamalkan dan disebarkan.
"Islam adalah 'kata kerja' bukan 'kata nama'"
"Islam is a verb not a noun"

1 comments:

Muhammad Firdaus said...

fuhh~~ jadi bahan jugak rupanya~ haha.. what a great read.

Post a Comment

 
Copyright © Reincarnation