Brother & Sister

Fotografi Dalam Islam

Mengenai gambar dengan alat fotografi, iaitu kamera, secara menyeluruh termasuk dalam nas yang mengharamkan, melainkan gambar yang wajib dan memang ketara kebaikannya. Ini seperti gambar untuk kad pengenalan, pasport, gambar orang jahat dan orang yang dituduh disebabkan semua ini termasuk dalam kaedah
umum yang mengatakan darurat itu mengharuskan yang dilarang.

Bagi Pensyarah Kanan di Institut Islam Toronto, Ontario, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty, fotografi sebagai medium komunikasi tidak jatuh dalam kategori gambar yang dilarang. Menurutnya, Nabi s.a.w memang mengutuk orang yang membuat gambar dan ukiran yang melambangkan patung kerana ia membawa kepada syirik, selaras dengan kaedah usul fiqah (prinsip perundangan Islam) sesuatu yang membawa kepada haram ia adalah haram.

Tetapi, katanya, fungsi fotografi hari ini tidak jatuh kepada kategori terbabit, malah sesetengah ulama yang dahulunya mengecam keras fotografi kemudian menukar posisi terhadap hukum berkenaan. “Malah, mereka juga membenarkan gambar mereka diambil untuk disiarkan dalam akhbar, syarahan melalui rakaman video dan pembentangan. “Sebelum ini mereka hanya membenarkan dalam kes pengecualian seperti urusan pasport, lesen memandu dan sebagainya.

“Perubahan pandangan mereka terhadap fotografi adalah berasaskan penilaian mereka ke atas peranan fotografi,” katanya. Bagaimanapun, katanya, seseorang tidak boleh membuat kenyataan yang semua fotografi adalah halal (dibenarkan). “Ia bergantung kepada penggunaan dan fungsinya. Jika ia untuk tujuan pendidikan serta tidak dicemari dengan tujuan sanjungan dan penyembahan, ia tidak dilarang,” katanya.

Sementara itu, menurut Dr Yusuf al-Qardhawi, melalui bukunya Halal dan Haram Dalam Islam, menghasilkan gambar dengan alat fotografi (kamera), yang paling dekat dengan jiwa syariat Islam dalam permasalahan ini ialah dibolehkan dan jika tidak pun hukumnya jatuh makruh. “Itupun kalau gambar yang diambil tidak termasuk gambar yang diharamkan oleh Islam seperti gambar yang menampakkan tempat sulit kaum wanita atau lelaki yang boleh menimbulkan fitnah atau menggambarkan lelaki sedang bercium-ciuman, berdua-duaan dengan wanita atau seumpamanya seperti percampuran antara bukan mahram serta aurat lelaki atau perempuan itu sendiri,” katanya. Harus fotografi tetapi bergantung pada subjeknya. 

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © Reincarnation